Posts Tagged ‘tazkirah’

Jumaat Penghulu Segala Hari

December 24, 2011 - 2:08 am No Comments

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Esok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.

Riwayat Al-Bukhari
Huraian Hadis: 

1. Islam menyerlahkan perbezaan yang begitu ketara dengan agama-agama lain agar umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah qiblat, kitab suci, hari raya, hari kebesaran dan sebagainya.
2. Islam menetapkan bahawa hari Jumaat adalah sebagai penghulu segala hari. Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan hari Sabtu dan Kristian yang membesarkan hari Ahad.
3. Perbezaan-perbezaan yang ditetapkan oleh Islam ini hendaklah diamalkan dan dihayati secara praktikal oleh umat Islam kerana dengan cara ini akan menyerlahkan lagi jati diri setiap muslim serta menjauhkan mereka daripada terpengaruh dengan adat dan budaya yang cuba dibawa masuk oleh musuh Islam.
4. Kegagalan umat Islam dalam mempromosikan Islam terhadap masyarakat bukan Islam akan mengakibatkan umat Islam dipandang hina dan Islam dipandang sepi. Dengan itu umat Islam hendaklah berhati-hati agar tidak terikut dengan semua adat dan budaya orang-orang bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya aqidah dan terpadamnya garisan yang telah ditetapkan oleh syarak.

 

mhmj/ump/2011

 

Sumber Laman Web JAKIM

Cara Memberi Salam

December 22, 2011 - 2:40 am No Comments

Daripada ‘Imran bin al-Husain r.huma katanya : Seorang lelaki datang menemui Nabi S.A.W , lalu ia mengucapkan kepada baginda “Assalamu’alaikum”, baginda pun menjawab salam lelaki tersebut kemudian baginda terus bersabda “sepuluh”(maksudnya ialah pahalanya sepuluh kali ganda), setelah itu datang pula orang lain dan memberi salam “Assalamu’alaikum Warahmatullah”, baginda menjawab salam orang itu lalu duduk dan bersabda “dua puluh”(maksudnya pahala berganda sampai dua puluh kali). Kemudian datang lagi orang lain dengan memberi salam, “Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh”, baginda menjawab salam orang itu lalu duduk dan bersabda, “tiga puluh”, maksudnya pahalanya berganda sampai tiga puluh kali ganda”

(Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi) At-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini hasan.


Pengajaran Hadis:

     1. Hukum memberi salam adalah sunat tetapi menjawab salam yang diberi itu adalah wajib.

2.

2. Tidak menjadi kesalahan di dalam Islam menjawab salam yang diberi oleh seseorang walaupun berulang kali kerana pahalanya berlipat kali ganda.

 

3.  3. Lafaz salam itu merupakan salah satu daripada doa yang mudah dilakukan oleh umat Islam pada setiap masa dan tempat.

4.

4   4. Tambahan lafaz “Ta’ala” selepas “warahmatullah” tidak thabit dari Nabi dan tiada dalam hadis Sahih, atau Dhaif, atau Maudhu’ sekalipun.

5.

5. Rasulullah S.A.W pernah bersabda maksudnya : “Wahai sekalian manusia ! Sebarkanlah salam, beri dan jamulah makanan, pereratkanlah silaturrahim di antara kamu dan tunaikanlah solat sunat di waktu manusia lain sedang tidur nescaya kamu semua akan masuk syurga dengan selamatnya”.

(At-Tirmizi; Hadis Hasan Sahih)

Doa Yang Tidak Diperkenankan

December 21, 2011 - 3:01 pm No Comments
Dari Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul.
Firman-Nya:
Wahai para rasul, Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.(al-Mukminun:51Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu…(al-Baqarah:172)
Kemudian Nabi S.A.W menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa:Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! . Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya.
( Riwayat Muslim )
Huraian Hadis: 
1. Berdoa itu tidak boleh dilakukan secara semberono (tidak berhati-hati) dan sembarangan, tetapi perlu kepada adab-adab dan syarat-syarat tertentu. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap bahawa berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang yang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah S.W.T.
2. Memakan makanan yang halal dan baik merupakan salah satu bentuk dari ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam dalam segala perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, insyaAllah segala apa yang dipohon akan dikabulkan Allah.
3. Kita hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa takut. Merendahkan diri dengan suara yang lirih, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat yang diminta. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:”Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut ..” (al-A’raf : 55)
4. Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya:Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa.” (at-Tabrani).

Amalan Sunnah di bulan Zulhijjah

October 31, 2011 - 8:16 am No Comments


Alhamdulillah kita di pertemukan bulan Zulhijjah untuk sekelian kalinya. Inilah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia terutama yang ingin menyahut seruan Allah untuk melaksanakan ibadah haji di Makkah Al- Mukarramah.

Pada bulan Zulhijjah, terdapat padanya satu ibadah yang sangat besar pahalanya di sisi Allah `Azza wa Jalla, iaitu ibadah mengerjakan haji bagi sesiapa yang mampu. Ia melengkapkan rukun Islam pada diri seseorang Muslim.

 

Disebut di dalam hadith bahawa ganjaran yang menanti bagi jemaah haji yang memperolehi haji yang mabrur ialah Syurga. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Satu umrah sampai umrah berikutnya adalah kafarat (penebus) dosa-dosa yang terjadi di antara kedua umrah itu.  Dan haji yang mabrur tiada balasannya kecuali Syurga” (HR al-Bukhari & Muslim)

Bagi umat Islam yang tidak mempunyai kesempatan untuk mengerjakan ibadah haji, Allah `Azza wa Jalla tetap menyediakan keistimewaan yang besar untuk direbut pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah.

 

Apakah amalan-amalan itu?

 

1.  Memperbanyakkan amalan kebaikan dan ibadah sunnah sepanjang 10 hari pertama pada bulan Zulhijjah.

Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih di kasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).”

Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?”

Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam bersabda:  “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu(syahid).” (HR al-Bukhari)

 

2.  Puasa pada hari `Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah

Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:

“Puasa itu dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.” (HR Muslim)

 

3.  Solat `Eidul-Adha

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya Allah  telah menggantikan dua hari istimewa kalian itu dengan dua hari yang lebih istimewa daripadanya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha” -  Hadith riwayat Abu Daud:  1134, al-Albani mensahihkannya di dalam as-Silsilah as-Sahihah: 2021.

“Sesungguhnya sebaik-baik hari di sisi Allah  adalah Hari Raya Aidiladha.” -  Hadith riwayat Abu Daud:  1765, al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih Abu Daud.

 

4.  Menyembelih haiwan korban selepas Solat `Eidul-Adha.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang sangat disukai Allah ialah menyembelih korban.  Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya.  Sesungguhnya Allah akan menerima penyembelihan korban itu sebelum darahnya tumpah ke bumi.  Maka, kamu hendaklah ikhlaskan diri semasa melakukan korban itu.” -  Ibn Majah:  3117 dan at-Tirmizi:  1412

Begitulah di antara beberapa amalan yang wajar menjadi rebutan buat kita umat Islam dalam menambah bekalan menuju Hari Akhirat.

 

Semoga dengan adanya peringatan ini menjadikan kita di kalangan insan yang beruntung dalam mengambil faedah 10 hari-hari terawal bulan Zulhijjah. wallahu a`lam.

Pusat Islam UTeM

Menyambut Kelahiran Dalam Islam

September 5, 2011 - 3:42 am No Comments

Sumber: http://mr-tazkirah.blogspot.com/ 

Objektif :

Kaedah ini bertujuan memberitahu kepada suami akan beratnya kesakitan yang dihadapi oleh isteri ketika hendak melahirkan anak dan menuntut suami supaya sentiasa berada disamping isterinya agar beban kesakitan dapat dikurangkan.

Kaedah ini juga bagi membimbing suami supaya dapat menyambut kelahiran anak mengikut cara yang digarispandukan oleh Islam.

Aktiviti :

1. Suami Berada Di Samping Isteri Ketika Saat-Saat Isteri Hendak Bersalin. 
Alangkah gelisah dan kritikalnya saat-saat akan melahirkan anak lebih-lebih lagi bagi ibu yang pertama kalinya akan melahirkan anak. Suami perlu memberikan motivasi kepada isteri agar tetap tabah dan sabar, di samping suami harus banyak berdoa kepada Allah serta banyak beristighfar dan berselawat disamping membanyakkan bacaan surah Al-Insyiqa’ dan surah Al-Hasyr.

Firman Allah Taal dalam surah Luqman ayat 14 :

Maksudnya : “Dan Kami wajibkan menusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga ke akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

2. Azan Di Telinga Kanan Dan Iqamah Di Telinga Kiri.
Suami hendaklah segera mengazankan di telinga kanan anak yang baru lahir dan diiqamahkan di telinga kiri dengan tujuan supaya dijauhi anaknya dari gangguan syaitan dan supaya kalimah pertama yang dapat didengar oleh bayi ialah kalimah Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rafi’ r.a. Rasulullah bersabda :

Maksudnya : “Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w. mengazankan Al-Hassan bin Ali pada telinganya ketika itu ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a.”

Riwayat Abu Daud dan Tirmizi

3. Membaca Surah Al-Qadar dan Surah Al-Ikhlas.
Suami hendaklah juga membanyakkan bacaan surah Al-Qadar di telinga kanan dan surah Al-Ikhlas di telinga kiri bagi tujuan memohon kepada Allah supaya anak yang dilahirkan terselamat dari melakukan perzinaan dan memohon juga supaya dikuatkan iman, jauh dari menyeleweng fahaman akidahnya dari landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

4. Membaca Surah Al-Insyirah Di Jari Manis Dan Ditahnikkan.
Suami juga hendaklah membaca surah Al-Insyirah di jari manis kemudian mencelupkan jari manis ke dalam manisan (madu) dan ditekankan (ditahnikkan) di langit-langit bayi tersebut dengan membaca ayat 36, surah Ali-Imran :

Maksudnya : “Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.

Tahnik adalah bertujuan untuk memohon kepada Allah S.W.T. supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya dari menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya”.

5. Melaksanakan Tuntutan Sempena Hari Ketujuh.
Memberikan nama yang baik.

Bapa dikehendaki menamakan anaknya dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kerana nama itu sendiri adalah merupakan doa kepada anaknya.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : “Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka indahkanlah nama kamu”.

Riwayat Abu Daud

Membaca Doa ketika memberikan nama anak.

Maksudnya : “Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah nama yang diberikan ini memberi keberkatan kepadanya, pandukan segala usahanya ke arah keredhaanMu, jadikan menuntut ilmu sebagai matlamatnya dan akhirkan hidupnya dengan amal-amal soleh. Ya Allah wahai tuhan kami, lanjutkanlah usianya dalam ketaatan kepadaMu dan kepada RasulMu dan jadikan tubuh badannya dalam keadaan sihat walafiat. Ya Allah, jadikan ia pemimpin di waktu dewasa, teguhkan imannya sepertimana iman para nabiMu sehingga hari kiamat. Ya Allah kurniakan ia rezeki yang halal dan berkat, dekatkanlah ia dengan kebaikan dan jauhkan ia daripada kejahatan dengan rahmatMu Ya Allah yang Maha Pengasih.

Mengaqiqahkan anak.

Bapa hendaklah mengaqiqahkan anaknya kerana hukumnya adalah sunat mu’akad iaitu dengan mengadakna kenduri kesyukuran. Menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Sebaik-baiknya dilakukan pada hari ketujuh.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : “Setiap anak yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”.

Riwayat abu Daud

Ketika menyembelih aqiqah disuruh juga menyebut nama anak.

Maksudnya : “Dengan nama Allah, Ya Allah untukMu dan bagiMu akikah ini dari ……(sebut nama anak)….

Gesaan Aqiqah :

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : “Kerkakanlah aqiqah bagi anak lelaki yang baru lahir, kerana itu hendaklah kamu menyembelih aqiqah dan jauhkanlah gangguan dari anak itu”.

Muttafaqun A’laih

Antara hikmah aqiqah adalah :

Membiiasakan berkorban bagi orang tua demi kepentingan bayi yang baru lahir di dunia.

Melindungi diri dari gangguan syaitan.

Bercukur rambut.

Adalah menjadi tanggungjawab bapa untuk mencukur rambut anaknya pada hari ke tujuh (dibotakkan) sama ada dilakukan olehnya sendiri atau orang lain.

Antara hikmah bercukur rambut adalah :

Hikmah kesihatan.

Dengan membuang, mencukur rambut anak yang baru lahir akan terbuka semua lubang rambutnya yang mungkin akan mengukuhkan pancaindera penglihatan, pernafasan dan pendengaran.

Hikmah kemasyarakatan.

Dapat bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.s. ia berkata :

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyuruh supaya mencukur rambut cucunya Saidina Hassan dan Hussin r.a. pada hari ketujuh dan disedekahkan berat timbangan rambutnya dengan nilai perak”.

Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud

Khurafat yang perlu ditinggalkan.

Mencukur bahagian-bahagian tertentu daripada kepala sebagaimana yang banyak dilakukan sekarang, kerana ini termasuk dalam perkara yang dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam dan bunga kerana amalan ini diambil dari budaya Hindu. Rasulullah bersabda :

Maksudnya : “Barangsiapa yang menyerupai (meniru apa sahaja perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam) dengan sesuatu kaum (yang bukan Islam) maka ia tergolong daripada mereka”.

Mengkhatankan anak.

Bapa bertanggungjawab untuk mengkhatankan anak lelakinya. Dalam sebuah hadis disebutkan :

Maksudnya : “Berkhatan itu sunat bagi lelaki, mulia bagi wanita”.

Riwayat Abu Daud

Walaupun demikian, amalan masyarakat kita mengkhatankan anak pada umur sebelas tahun atau dua belas tahun tidaklah menyalahi syarak. Adalah menjadi suatu yang baik sekiranya anak-anak sebelum dikhatankan terlebih dahulu diaturkan majlis khatam Al-Quran untuknya.

Antara faedah berkhatan adalah :

Melindungi daripada berbagai-bagai penyakit.

Membersihkan diri dari kekotoran.

6. Menyusukan Anak.
Demi kesihatan anak, ibu hendaklah menyusukan anak dengan susu ibu.

Firman allah Taala dalam surah Al-Bawarah ayat 233:

Maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu”.

Imam As-Syafie berkata

“Sihat atau tidak anak itu adalah bergantung sama ada anak disusui oleh susu ibu atau tidak walaupun sekali susuan”.

Kelebihan menyusukan anak :

Setiap tegukan dari susu ibu, Allah S.W.T. memberi pahala satu kebaikan.

Bila ibunya semalaman tidak dapat tidur kerana menjaga anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba ke jalan Allah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Copyright © 2010 www.sazliidura.com | Powered by Wordpres | Design customized by Hijrah Jitu Sdn Bhd