Posts Tagged ‘fatwa’

Masalah Perpecahan Orang Melayu/ Islam

October 4, 2011 - 5:36 am No Comments

 

Keputusan:
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 15 Februari 2001 telah membincangkan Masalah Perpecahan Orang Melayu/ Islam. Mesyuarat telah memutuskan bahawa:

  1. Tiada halangan untuk menggunakan perkataan Islam oleh mana-mana pertubuhan, malahan digalakkan tetapi hendaklah berdisiplin ilmu, iman dan ehsan. Walau bagaimanapun mana-mana orang atau pertubuhan yang menggunakan Islam atau perkataan Islam untuk tujuan mengelirukan masyarakat atau penyelewengan adalah salah dan bercanggah dengan prinsip-prinsip syariat Islam dan boleh diambil tindakan menurut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
  2. Seseorang itu sudah diiktiraf sebagai orang Islam jika menepati rukun Islam. Dari itu adalah salah dan tidak berhak bagi mana-mana pihak menambah apa-apa syarat lain bagi menentukan keislaman seseorang itu. Fahaman bahawa perlu ada tambahan syarat-syarat lain, selain daripada menepati rukun Iman dan rukun Islam seperti pengakuan atau sokongan kepada pihak tertentu sebelum seseorang itu ditentukan keislamannya adalah salah di sisi Islam. Oleh itu sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru atau menyebar dengan apa-apa cara jua pun akan fahaman tersebut adalah melakukan perbuatan yang termasuk dalam perbuatan menyebarkan ajaran salah atau menyeleweng.
  3. Ketentuan syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah SWT. Dari itu, dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang atau pertubuhan tertentu diperlukan sebelum seseorang Islam layak ke syurga atau ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam. Oleh itu, sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru atau menyebar dengan apa-apa cara jua pun akan fahaman tersebut maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebarkan ajaran salah dan menyeleweng.

 

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my

Merokok Dari Pandangan Islam

September 3, 2011 - 3:01 am No Comments

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

 

Keterangan/Hujah:
1.  Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:
i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.
ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.
iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:
a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
d. Kaedah Usul Fiqh: ??? ??????? ???? ??? ??? ??????? yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:
i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.
iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.
Antaranya seperti berikut:
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.
b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.
2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.
3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyahmenyatakan:
“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”
“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”
Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak

August 26, 2011 - 4:15 am No Comments
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalahdibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Hukum Tarian Poco-poco Dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam

August 20, 2011 - 12:48 am No Comments
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 – 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Tarian Poco-poco Dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa berdasarkan dapatan daripada kajian awal yang dikemukakan, fakta yang menunjukkan bahawa tarian poco-poco yang dipraktikkan di Malaysia mempunyai kaitan secara langsung dengan ritual penganut agama Kristian masih belum dapat dibuktikan sepenuhnya dan kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan bagi memastikan fakta sebenar asal usul tarian tersebut. Walaupun demikian, Muzakarah mengambil perhatian dan menghormati keputusan pengharaman tarian poco-poco yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
  2. Sehubungan itu, bagi memastikan apa jua bentuk tarian sama ada poco-poco atau sebagainya tidak bertentangan dengan ajaran Islam, Muzakarah memutuskan supaya sebarang bentuk tarian yang dilakukan hendaklah merujuk Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang telah diputuskan sejak tahun 2007 seperti berikut, antaranya:
a) Berpakaian menutup aurat, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada
    eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam;
b) Gerak tari yang disembahkan tidak menimbulkan fitnah;
c) Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah;
d) Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan agama bukan Islam; dan
e) Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Copyright © 2010 www.sazliidura.com | Powered by Wordpres | Design customized by Hijrah Jitu Sdn Bhd